Friday, October 29, 2010

Sejarah Gelaran Awang dan Abang Dalam Konteks Brunei Darussalam dan Sarawak

Pengenalan

Etimologi[1] bahasa melibatkan kajian sejarah bahasa, iaitu bagaimana perkembangan  sesuatu kata sehingga sekarang, dari mana sumbernya dan bagaimana kata tersebut membentuk makna serta bagaimana makna itu berubah mengikut masa. Bagi bahasa bertulis kajian etimologi selalunya akan melibatkan bidang filologi, iaitu kajian tentang bagaimana kata berubah dari satu budaya ke budaya lain mengikut zamanya. Sedangkan bagi bahasa yang tidak memiliki budaya tulisan, ilmu Linguistik Perbandingan selalu digunakan untuk melihat sejarah kata-kata pada sesuatu bahasa yang dikaji. Dengan menganalisa beberapa bahasa sekarabat pada zaman sekarang (sinkronik) linguis boleh menyimpulkan bagaimana bentuk bahasa moyang bahasa tersebut.

Dalam kertas kerja ini akan diungkapkan sejarah dua perkataan yang sangat lumrah dalam bahasa Melayu, iaitu kata Abang dan juga Awang. Bagaimanapun, apa yang membuatkan kedua-dua perkataan ini sangat istimewa ialah penggunaannya sebagai gelaran kehormat yang akhirnya menjadi gelaran penanda keturunan bagi sesetengah masyarakat di Brunei dan Sarawak. Gelaran abang di Sarawak adalah khusus untuk keturunan abang sahaja, dan demikian juga di Brunei Darussalam, perkataan awang adalah gelaran khusus kepada keturunan awang atau awang-awang. Kedua-dua gelaran tradisional ini pada asalnya adalah berpusat di istana, atau dianugerahkan oleh seorang raja kerana tugas atau jasanya. Bagi gelaran awang di Brunei, ia dianugerahkan kepada lelaki yang bekerja di istana.[2]

Untuk meneliti sejarah kedua-dua perkataan ini akan dipaparkan terlebih dahulu penggunaan perkataan awang dan abang dalam bahasa Melayu di Nusantara. Selepas itu akan dilihat sejarah penyebaran kekuasaan empayar Majapahit yang banyak menyumbang kata-kata pinjaman bahasa Jawa dalam bahasa Melayu. Hubungan sejarah Brunei dan Sarawak juga akan dihuraikan dengan ringkas. Untuk memahami sejarah perkataan yang dimaksudkan penulis juga akan melihat hipotesis ‘Tanah Leluhur Orang Melayu Purba’ yang pernah dikemukakan oleh Adelaar (1985, 1992), Blust (1988), Collins (1995, 2000), dan Nothofer (1996).

 Awang dan Abang dalam bahasa Melayu

Wilkinson (1903) mentakrifkan awang sebagai ‘anak muda; nama yang dikenali (timang-timangan selalunya diberikan kepada anak sulung; nama panggilan untuk seseorang lelaki muda yang tidak diketahui namanya. Penggunaannya di kalangan masyarakat Melayu semakin jarang, kecuali sebagai nama atau vokatif.’ Abang dalam Wilkinson (1903) pula ditakrifkan sebagai ‘abang tua atau sepupu; ungkapan akrab atau ungkapan untuk menerangkan saudara lelaki yang tidak begitu berbeza umur dengan si penutur; ungkapan wanita kepada suaminya.’

Dalam Kamus Bahasa Melayu Nusantara (2003), awang ditakrifkan sebagai ‘panggilan kepada anak muda (terutamanya anak sulung) dan juga bermaksud dalam sastera lama sebagai hamba laki-laki.’ Juga dalam kamus yang sama diterangkan masukan perkataan ‘perawangan yang bermaksud golongan orang muda laki-laki keturunan orang baik-baik dan juga bermaksud orang muda-muda yang menjadi hamba raja.’ Perkataan abang dalam Kamus Bahasa Melayu Nusantara (2003) pula ditakrifkan sebagai ‘saudara laki-laki yang lebih tua daripada seseorang (biasanya seibu seayah dengannya); kakak laki-laki; panggilan khususnya kepada saudara tua laki-laki (yang seibu seayah, seayah, atau seibu); panggilan kepada orang laki-laki yang lebih tua atau yang tidak dikenali; panggilan isteri kepada suaminya; atau untuk bahasa Melayu Jakarta sebagai sebutan untuk penjual sayur, penjual ikan, pengemudi beca, dan sebagainya.’

Dua kamus yang dirujuk tadi membawa kesan yang agak berbeza pada kedua-dua perkataan tadi, iaitu kamus Wilkinson (1903) yang sudah berusia 104 tahun menunjukkan yang pemakiaan dan maksud perkataan awang dan abang tetap sama selama lebih dari 100 tahun sehingga sekarang. Kamus Bahasa Melayu Nusantara (2003) pula membawa kesan yang perkataan ini difahami dan digunakan dalam bahasa Melayu di Nusantara (Brunei, Indonesia dan Malaysia serta Singapura dan selatan Thailand).

Dari sudut semantik, kedua-dua perkataan ini dapatlah disimpulkan sebagai mempunyai persamaan fitur, iaitu +lelaki, ± lebih tua dan ± saudara atau dalam erti kata lain kedua-dua perkataan ini mempunyai maksud yang sama atau hampir sama.

Di Brunei Darussalam pula perkataan awang digunakan dengan begitu produktif sekali kerana ia berfungsi sebagai kata panggilan atau penanda nama untuk lelaki yang membawa makna sepadan dengan encik di Malaysia, atau bapak di Indonesia atau mr (mister) dalam bahasa Inggeris. Bagaimanapun, penggunaannya tetap terbatas pada situasi formal dan tulisan kerana jika digunakan dalam situasi informal perkataan ini selalunya hanya diujarkan kepada seseorang yang sebaya atau yang lebih muda dari si penutur. Jika digunakan kepada seseorang yang lebih tinggi kedudukan sosialnya serta lebih tua dari si penutur, panggilan ini akan ditafsir sebagai tidak hormat.

Bagi perkataan abang pula, sememangnya tidak ada perbezaan penggunaannya seperti tempat-tempat lain di alam Melayu, iaitu digunakan untuk seorang lelaki yang lebih tua atau isteri kepada suaminya.

Bagaimanapun, kertas kerja ini bukanlah bertujuan membincangkan penggunaan atau fungsi kedua-dua perkataan tersebut sebagai sistem penanda nama lelaki atau sistem panggilan seseorang lelaki yang lebih tua. Tujuan kertas kerja ini ialah penggunaan perkataan ini pada sistem gelaran yang lebih khusus lagi, iaitu sistem gelaran kehormat di Brunei Darussalam dan Sarawak.






Kesan Penyebaran Empayar Majapahit

Selain dari Empayar Srivijaya (abad ke-7 M sehingga akhir abad ke-13 M), empayar Majapahit (1293-1528) juga telah berjaya menguasai seluruh Nusantara (Abdul Rahman Haji Abdullah 1985). Sebagai sebuah empayar yang besar dan menguasai Nusantara selama lebih dari 200 tahun sudah pasti sedikit sebanyak budaya dan bahasanya menyebar luas di tempat-tempat yang dikuasainya itu. Ini adalah satu fenomena lumrah di mana kuasa ‘superstratum’ akan menguasai wilayah ‘substratum’.

Kerajaan Majapahit yang diasaskan oleh Raden Wijaya pada tahun 1292 ini adalah sebuah kerajaan yang berpusat di Jawa Timur, dengan kata lain sebuah kerajaan Jawa yang menggunakan bahasa Jawa sebagai bahasa pemerintahannya. Walaupun kita tahu yang bahasa Melayu jauh sebelum kerajaan Majapahit sudah menjadi bahasa perantaraan di Nusantara, yang bererti kerajaan-kerajaan di pulau Jawa juga menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan atau bahasa diplomatiknya, sedikit sebanyak bahasa ibunda kuasa ‘super’ ini pasti meresap di jiwa masyarakat takluknya. Jadi, kita tidak akan hairan jika menjumpai kata-kata seperti otot, wayang, cawangan, ayu, batik, dongeng, ratu, dan banyak lagi.

Kalau dilihat dari sudut linguistik komparatif, ternyata terjadi beberapa inovasi bahasa Austronesia Purba ke bahasa Jawa yang membezakan bahasa Jawa dengan bahasa-bahasa Austronesia yang lainnya. Inovasi bunyi yang begitu menonjol ialah inovasi Bahasa Austronesia Purba (BAP) *b yang menjadi /w/ dalam bahasa Jawa. Jadi, kita boleh melihat inovasi BAP *bajaN > wayaN (Jawa), *bakul > wakul (Jawa), *kulabu > kelawu (Jawa), *tabuh/an > tawon (Jawa) dan banyak lagi.

Bagaimanapun, terdapat juga kata-kata asal Jawa yang dipinjamkan ke dalam bahasa Melayu dan setelah sekian lama digunakan dalam bahasa Melayu tetapi akhirnya tidak dipakai lagi dalam bahasa Jawa, umpamanya *kaban > kawan (Jawa) > kawan (Melayu).

Dalam bahasa Melayu (BM) pula, BAP *b tidak mengalami perubahan, jadi BAP *bajaN > bayaN (BM), *bakul > bakul (BM), *kulabu > kelabu (BM), *tabuh/an > tabuan (BM).

Berdasarkan inovasi BAP *b > w dalam bahasa Jawa, perkataan awang dalam bahasa Melayu sekarang sebenarnya adalah kata pinjaman dari bahasa Jawa. Selain dari itu, dengan mengambil kira persamaan makna awang dan abang dalam bahasa Melayu, kita dapat menyimpulkan yang kedua-dua perkataan ini adalah dari kata BAP *abaN > awaN (Jawa) > awaN (BM). Bagaimanapun, disebabkan perkataan abang dan awang tetap digunakan, akhirnya kedua-dua perkataan itu akan mengalami perbezaan makna tetapi selalunya akan dalam kategori makna kata yang sama.

 Hubungan Brunei Darussalam dan Sarawak

Hubungan sejarah antara Brunei dan Sarawak bermula sejak sekian lama terutama dalam abad ke-16 dan ke-17 di mana Brunei adalah merupakan sebuah empayar yang menguasai sejauh selatan Filipina di Utara dan sejauh pantai utara Kalimantan  di Selatan yang termasuk Sarawak dan Sabah sekarang. Hubungan sejarah ini membawa implikasi terjadinya pergerakan manusia yang secara langsung atau tidak akan mengakibatkan pengaruh bahasa. Bagaimanapun, dari sudut bahasa kita dapat buktikan yang perkataan abang adalah perkataan Melayu asli sedangkan awang adalah kata pinjaman dari Jawa.

Jika bukti di atas dapat dipertanggungjawabkan, kita boleh mengatakan yang sejarah zaman prasejarah dan sejarah kegemilangan empayar Brunei agak bertentangan. Pada zaman sejarah, empayar Brunei yang mempengaruhi Sarawak sedangkan kita boleh buktikan dari perkataan abang yang Sarawak telah berjaya mengekalkan kata asal Melayu sebagai gelaran sedangkan Brunei telah meminjam dari bahasa Jawa.

Peminjaman perkataan awang dari bahasa Jawa dalam bahasa Melayu di Brunei adalah berkemungkinan akibat dari hubungan langsung atau tidak langsung. Hubungan langsung bermaksud kata tersebut dipinjam adalah akibat dari pengaruh kekuasaan empayar Jawa di Nusantara termasuk Brunei. Peminjaman tidak langsung pula bermaksud kata tersebut diambil dari bahasa Melayu di tempat lain di Nusantara yang meminjam secara langsung dari bahasa Jawa. Apa pun caranya, untuk membuktikan apa yang terjadi sebenarnya tidak begitu mudah kerana perkataan awang telah digunakan oleh semua varian Melayu di Nusantara.

Hipotesis Borneo Barat Sebagai Tanah Leluhur Orang Melayu Purba

Kenyataan pendek Adelaar (1985) dalam disertasi PhD beliau yang menyatakan kemungkinan Borneo sebagai tempat tanah leluhur Melayu Purba telah mendapat sambutan hangat terutama dari Blust (1988)[3], Collins (1995, 2000) dan Nothofer (1996). Tanah leluhur sesuatu masyarakat boleh kita buktikan dengan melihat kadar kepelbagaian bahasa sekerabat yang mendiami sesuatu tempat. Kaedah yang dinamakan sebagai ‘pusat graviti’ (Campbell 1998), iaitu yang melihat pergerakan manusia yang perlahan dan kadar kepelbagaian bahasa sekerabat yang tinggi pada satu kawasan boleh digunakan untuk menentukan tanah asal masyarakat berkenaan.

Jika kita menerapkan kaedah ini pada bahasa Melayu, kita boleh membuktikan yang Borneo Barat iaitu di sekitar Kalimantan Barat cukup sesuai sebagai tempat tanah leluhur Melayu Purba kerana keanekaragaman bahasa yang sekerabat dengan bahasa Melayu. Di Kalimantan barat, tidak kurang dari tiga subkelompok bahasa yang sekerabat dengan bahasa Melayu, iaitu bahasa Melayu, Iban dan Kendayan (Selako) yang kesemuanya digolongkan sebagai Malayik oleh Adelaar (1985). Mengikut Nothofer (1996) terdapat tiga arus migrasi masyarakat Melayu Purba dari keluarga asalnya, Malayik di Borneo Barat, iaitu pertama ke Sumatera, kedua ke utara Borneo dan ketiga ke selatan menuju ke pulau Jawa (Melayu Batawi).

Arus kedua yang dimaksudkan oleh Nothofer (1996) bertolak dari Kalimantan Barat dan menyusur kawasan pantai Borneo Barat ke Utara Borneo (sekarang Sarawak ke Brunei dan Sabah). Penggunaan perkataan abang sebagai penanda gelaran kehormat yang digunakan di Sarawak sebenarnya mempunyai sejarah dan persamaan yang erat dengan Brunei. Pada suatu ketika sebelum pengaruh bahasa Jawa berluas-luasa (kemungkinan kerajaan Majapahit), gelaran abang di Sarawak digunakan juga di Brunei. Bagaimanapun, akibat dari pengaruh bahasa Jawa yang langsung atau tidak langsung tadi telah mempengaruhi dan mengubah perkataan abang di Brunei.

Kenyataan di atas diperkuatkan lagi dengan sejarah Kesultanan dan empayar Brunei yang sudah pasti menerima kontak dari dunia luar terutama kerajaan-kerajaan lain termasuk kerajaan Majapahit di Jawa. Kontak ini tidak berlaku di Sarawak kerana tidak terdapat Pusat kerajaan di Sarawak pada zaman empayar Jawa tersebut sehingga mengakibatkan perkataan abang untuk gelaran keturunan atau gelaran kehormat itu tidak tersentuh atau berubah.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulannya dapatlah dikatakan yang perkataan abang telah dibawa dari tanah leluhurnya di Kalimantan Barat, meresap di sepanjang pesisiran Sarawak sehingga ke Brunei. Tetapi dengan pengaruh Jawa perkataan abang diubah menjadi awang seperti perkataan lain tadi tetapi dengan fungsi dan makna yang sama, iaitu gelaran kehormat keturunan yang memegangnya.

Selain dari sekadar etimologi perkataan awang dan abang ini, implikasi dari sejarah perkataan ini boleh kita gunakan untuk menilai semula sejarah raja pertama Brunei. Awang Alak Betatar seperti yang tertera pada namanya tidak lain dan tidak bukan sudah pasti orang Melayu. Awang Alak Betatar empat belas adik beradik adalah orang Melayu yang belum Islam dan bukannya orang Sakai, Murut atau orang Iban seperti yang tercatat dalam beberapa buku sejarah terdahulu. Kenyataan ini adalah berdasarkan pertama, awang hanya digunakan oleh masyarakat Melayu bukan sahaja di Brunei tetapi di seluruh Nusantara. Kedua, terbukti abang di Sarawak hanya digunakan oleh orang Melayu di Sarawak, dan jika abang dan awang adalah dari kata yang sama bermakna orang Brunei awal juga adalah orang Melayu yang seasal dengan masyarakat Melayu Sarawak malahan jika melihat hipotesis tanah leluhur orang Melayu dan menelusuri migrasinya sudah pasti masyarakat Melayu Pontianak, Sarawak dan Brunei adalah dari moyang yang sama, iaitu Melayu.


Rujukan

Adelaar, K. Alexander. (1985). Proto-Malayic: The reconstruction of its phonology and parts of its lexicon and morphology. Afblasserdam: Offsetdrukkerij Kanten B.V.

Adelaar, K. Alexander. (2003). Borneo as the homeland of the Malay language: fifteen years down the road. Kertas Kerja  yang dibentangkan dalam Seminar Sejarah Bahasa Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Blust, Robert A. 1988.
Campbell, Lyle. (1998). Historical Linguistics. Edinburgh: Edinburgh University Press.

Collins (1995, 2000), dan Nothofer (1996).
Dalam Kamus Bahasa Melayu Nusantara (2003)
Wilkinson (1903)
(Abdul Rahman Haji Abdullah 1985)

(Campbell 1998)


[1] Cabang ilmu bahasa yang menyelidiki asal usul kata serta perubahan-perubahan dalam bentuk dan maknanya (Kamus Bahasa Melayu Nusantara 2003)
[2] Sebagai pasangannya pula, gelaran dayang dianugerahkan kepada pekerja wanita atau dayang-dayang. Gelaran dayang berkemungkinan berlaku hasil dari proses anologi, iaitu ada pasangan lelaki-wanita, abang-kakak dan sudah pasti awang-awang pasangannya dayang-dayang. Bagaimanapun, kenyataan ini memerlukan kajian lanjut kerana penyebaran perkataan dayang-dayang untuk merujuk pekerja wanita di istana lebih meluas dan terkenal jika dibandingkan dengan gelaran awang-awang.
[3] Blust adalah merupakan “co-promotor” bersama dengan Prof. J.C Anceaux sebagai “promoter” untuk disertasi Adelaar. Adelaar sendiri mengakui “The idea that western Kalimantan was the original Proto Malay homeland was first suggested to me by Robert Blust” (Adelaar 1985:241, Endnote 2).

No comments: